Semangat anak peneroka

Semangat anak peneroka


Kasmirul Azli Mat Kasa (tengah) bersama peneroka dan anak peneroka melaungkan bantahan terhadap akhbar Suara Keadilan pada perhimpunan di Balai Raya Felda Rimba Emas, Padang Besar, Perlis. – utusan/Faizal Abu Hassan

PADANG BESAR 7 Julai – Semua sedia maklum bahawa anak-anak peneroka Felda seluruh negara mengutuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) ekoran akhbar rasmi parti tersebut, Suara Keadilan menyiarkan laporan kononnya Felda bankrap.

Anak-anak peneroka yang terdiri daripada generasi kedua Felda mengecam hebat parti berkenaan ekoran laporan tersebut sehingga mereka mengadakan tunjuk perasaan secara aman bagi menyatakan kemarahan terhadap berita itu yang disifatkan berkepentingan politik.

Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) yang digerakkan sepenuhnya oleh generasi kedua Felda turut melakukan protes secara aman dengan membakar akhbar Suara Keadilan.

Pengerusi MBFM Wilayah Alor Setar, Kasmirul Azli Mat Kasa berkata, pihaknya membantah fitnah yang dihebahkan oleh akhbar rasmi parti pembangkang tersebut.

“Kami generasi kedua Felda mengutuk sekeras-kerasnya fitnah yang disiarkan oleh akhbar PKR itu kononnya Felda bankrap. Sebab itu kami mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Felda Rimba Emas.

“MBFM Wilayah Alor Setar yang mewakili anak-anak peneroka di Kedah dan Perlis menyifatkan PKR menyerang kami dengan fitnah tidak berasas. Jadi, kami kena menyerang balik,” katanya selepas mengetuai tunjuk perasaan terhadap Suara Keadilan di Felda Rimba Emas di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Kasmirul Azli meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas terhadap akhbar parti berkenaan dan individu yang bertanggungjawab terhadap penyiaran artikel tersebut.

Akhbar Suara Keadilan pada 22 hingga 29 Jun lalu menyiarkan berita utama muka hadapannya dengan tajuk Felda Bangkrap dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran sama.

Pengerusi MBFM Wilayah Alor Setar juga menyatakan, pihaknya menyokong penuh sebarang tindakan yang diambil oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung perkara itu.

“Kami menyokong tindakan yang diambil oleh Timbalan Menteri itu berikutan penyiaran berita fitnah tersebut. Pada masa yang sama, MBFM Wilayah Alor Setar berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ,” ujarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 25 Jun lalu menyatakan, Felda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan dan beberapa pemimpin parti tersebut kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah.

Felda akan mengambil tindakan berkenaan kerana empat artikel yang disiarkan dalam akhbar itu bagi edisi bertarikh 22 hingga 29 Jun 2010 merupakan satu tuduhan tidak berasas.

Berikutan itu juga Ahmad kata, empat pemimpin pembangkang yang akan disaman ialah Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut.

Turut akan disaman ialah pemilik permit akhbar dan ketua pengarang akhbar berkenaan serta wartawan yang terlibat dengan penulisan berita itu.

Kasmirul Azli berkata, pihaknya kecewa kerana Felda dituduh bankrap sedangkan asetnya bukan sahaja ada di Malaysia, tetapi Felda mempunyai pelaburan di luar negara termasuk di Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Australia dan Arab Saudi.

Beliau memberitahu, Felda adalah antara pemilik ladang terbesar di dunia apabila mempunyai 340,000 hektar ladang dan 23,000 kakitangan peringkat pengurusan serta 40,000 peneroka.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:32 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Semangat anak peneroka

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]