Felda Tidak Pernah Alami Kemerosotan Rizab Tunai Yang Serius - Ahmad Maslan

Felda Tidak Pernah Alami Kemerosotan Rizab Tunai Yang Serius - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, (Bernama)-- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari Isnin menafikan kenyataan seorang bekas timbalan menteri yang mengatakan rizab tunai Felda semakin merosot.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata kewangan Felda sentiasa stabil dan tidak pernah mengalami kerugian besar seperti didakwa Dr Tan Kwee Kwong, bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dalam laporan akhbar baru-baru ini.

"Felda ada pelaburan di 12 buah negara dengan aset bernilai RM15 ribu juta, dan kalau ditolak liabiliti seperti hutang dan sebagainya, kita (Felda) masih mempunyai aset sebanyak RM12.2 ribu juta, (jadi) bagaimana beliau boleh mengatakan bahawa Felda mengalami kemerosotan rizab tunai," katanya pada majlis pelancaran Modul Masjid Felda sempena Seminar Pegawai Masjid Felda di Dewan Perdana Felda di sini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Tan, yang kini anggota Parti Keadilan Rakyat bahawa Felda mengalami kemerosotan rizab tunai sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengambil berat tentang segala perkara berkaitan Felda dan tidak meminggirkan organisasi tersebut dalam arus pembangunan negara.



Ahmad berkata keupayaan anak syarikat Felda iaitu Felda Holdings Berhad dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) membayar zakat perniagaan masing-masing sebanyak RM49.49 juta dan RM30.62 juta mulai 2008 hingga Jun 2010, jelas membuktikan organisasi tersebut dicemburui sesetengah pihak.

"Jika dicampurkan kedua-dua angka tersebut, kita telah membayar sejumlah wang yang banyak, jadi ini jelas merupakan satu tohmahan oleh mereka-mereka yang tidak berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Felda selama ini," katanya.

Beliau berkata KPF kini mempunyai anggota seramai 214,681 dengan nilai aset berjumlah RM1,535 juta di seluruh negara.

"Berdasarkan angka ini, kita sendiri dapat melihat koperasi ini merupakan koperasi yang pengurusannya dijaga dengan baik," katanya.

Ahmad berkata kerajaan masih berbincang dengan pihak berkepentingan dalam Felda untuk penubuhan KPF kedua dengan dana awal berjumlah RM10 juta bagi membantu generasi muda Felda merebut peluang dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat seperti yang dijelaskan oleh Najib baru-baru ini.

KPF yang ditubuhkan pada 1 Julai 1980 di bawah Ordinan Koperasi 1948, bertujuan menjadi wadah simpanan dan pelaburan warga Felda.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:28 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Felda Tidak Pernah Alami Kemerosotan Rizab Tunai Yang Serius - Ahmad Maslan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]