Benteng tebus tanah atasi hakisan pantai

Benteng tebus tanah atasi hakisan pantai


ABDUL Ghani Othman (berdiri, empat dari kanan) meninjau bersama Ahmad Maslan (berdiri, lima dari kanan) tentang hakisan pantai di Lorong Aman Batu 40 Api-Api, Pontian, kelmarin.


PONTIAN 10 Nov. - Kerajaan akan membina benteng menggunakan kaedah tebus tanah bagi menangani masalah hakisan pantai di daerah ini yang melibatkan beberapa kawasan seperti Tanjung Piai, Pontian Besar, Api-Api dan Tampok.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek sepanjang 60 kilometer (km) itu akan dibina secara berperingkat dengan kadar tiga hingga enam kilometer bagi setiap fasa.

Beliau berkata, dua projek benteng itu sedang dibina di persisiran barat Pontian menghala ke Selat Melaka dan kawasan Tanjung Piai ke Tampok melibatkan kos perbelanjaan masing-masing sebanyak RM5 juta dan RM7 juta dengan jarak dua dan tiga kilometer.

"Hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan dilihat semakin serius terutama ketika waktu air pasang dan menyebabkan tanah lot penduduk yang terlibat semakin sedikit kerana dibawa arus.

"Benteng tersebut akan bertindak sebagai penghadang dan memerangkap lumpur serta pasir yang dibawa ombak ketika air pasang. Kita harap kaedah ini mampu menebus kembali tanah penduduk yang terhakis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam sempena lawatan kerjanya di daerah berkenaan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan beberapa Exco kerajaan negeri yang lain.

Sepanjang lawatan kerjanya itu, Abdul Ghani turut mendengar taklimat ringkas berkenaan pembangunan di Pontian serta masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat termasuk masalah pencerobohan tanah di Sungai Pontian Kecil dan pembangunan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Beliau juga sempat meninjau kawasan hakisan pantai di Batu 40, Api-Api, di sini bagi melihat tahap keseriusan fenomena alam tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan masalah hakisan pantai yang membelenggu penduduk terutama di perkampungan nelayan itu berlarutan sejak 10 tahun yang lalu bagaimanapun ia semakin serius dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, penggunaan mekanisme benteng tebus tanah itu bukan sahaja dapat menghalang hakisan tetapi ia juga mesra alam dan tidak mengganggu ekosistem di dalam air kawasan berkenaan.

Tambah Abdul Ghani, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) juga akan memberi perhatian untuk masalah ini kerana Tanjung Piai berada di dalam kawasan pembangunan mereka.

"Tanjung Piai terletak di kawasan Iskandar Malaysia. IRDA akan memberi perhatian yang sewajarnya untuk menangani masalah berkenaan," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:28 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Benteng tebus tanah atasi hakisan pantai

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]