Megatech Communication dapat projek RM1 bilion

Megatech Communication dapat projek RM1 bilion

PONTIAN 8 Nov. - Megatech Communication Sdn. Bhd., diberi tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja infrastruktur projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) membabitkan kos sebanyak RM1 bilion bagi tempoh lima tahun di Semenanjung mulai tahun ini.

Majlis menandatangani kontrak antara Megatech Communication dengan Urus Jaring Sdn. Bhd. dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Megatech Communication, Tan Meng Chai dan CEO Urus Jaring, Lee Wai Tuck di sini baru-baru ini.

Majlis turut disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Pada sidang akhbar selepas itu, Meng Chai berkata, projek HSBB itu merupakan satu langkah ke hadapan negara membangun infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata, kejayaan projek tersebut akan memberi kesan secara langsung kepada peningkatan aktiviti ICT dan pertumbuhan ekonomi terutamanya bagi memudahkan urusan yang memerlukan perkhidmatan Internet.

"Jaringan HSBB akan terbuka kepada umum iaitu sistem jalur lebar boleh diakses secara pasaran bebas supaya persaingan perniagaan terus meningkat," katanya.

Meng Chai berkata, pihaknya akan memasang kabel optik fiber di seluruh negara mulai penghujung bulan depan bermula di Kuantan, Pahang yang melibatkan 2,000 rumah sebelum ke Johor Bahru.

Sementara itu, Ahmad mengalu-alukan pemilihan Megatech Communaction yang berpengkalan di Benut, Pontian bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut yang merupakan pengiktirafan kepada daerah Pontian dan pekan Benut.

Menurutnya, pemberian kontrak tersebut juga akan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk terutamanya golongan muda.

Dengan kepercayaan yang diberikan oleh Urus Jaring, beliau percaya lebih ramai tenaga mahir tempatan diperlukan khususnya lepasan pelbagai institut latihan di negara ini.

"Kepercayaan yang diberikan kepada Megatech Communacation membuktikan syarikat tempatan juga mampu melaksanakan projek yang besar bagi memenuhi keperluan negara pada masa depan," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:28 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Megatech Communication dapat projek RM1 bilion

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]